Pages

Monday, January 2, 2012

FAHAMAI HAK KANAK-KANAK


Kanak-kanak merupakan pemimpin generasi masa hadapan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, guru, pemimpin dan setiap individu dalam memastikan kanak-kanak ini membesar dalam persekitaran yang harmoni, bersefahaman dan penyayang.
Kanak-kanak juga mempunyai hak sepertimana orang dewasa. Tambahan lagi, keadaan mereka yang masih belum matang dan tidak dapat membuat keputusan dengan sendiri, menyebabkan mereka memerlukan perlindungan dan penjagaan undang-undang yang sewajarnya.
Mereka berhak ke atas perlindungan, hak untuk tidak didiskriminasi, hak ke atas perlindungan, hak untuk menyuarakan pendapat serta pelbagai hak-hak lain yang termaktub di dalam perjanjian antarabangsa, undang-undang serta dasar negara.
Malangnya, masyarakat Malaysia secara amnya tidak mengetahui dengan jelas bahawa kanak-kanak mempunyai hak istimewa ini. Pendapat kanak-kanak sering tidak diberikan perhatian dan tidak diberikan perhatian dan tidak diberikan perlindungan yang sewajarnya. Berapa banyak kes yang dilaporkan oleh media massa tentang kes penderaan dan pembuangan bayi? Bagaimana pula dengan kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak yang tidak dilaporkan?
Apa itu hak kanak-kanak?
Menurut Akta kanak-kanak 2001, kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berumur di bawah 18 tahun. Hak kanak-kanak pula adalah hak-hak yang telah disenaraikan di dalam Konvensyen mengenai hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Children).
 Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak
            Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak merupakan instrumen antarabangsa yang mempunyai ratifikasi paling banyak antara instrument PBB yang lain. Konvensyen ini telah diterima pakai pada perhimpunan Agung Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 bagi mengiktiraf hak kanak-kanak. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 17 Februari 1995, namun masih mengekalkan reservasi kepada Perkara 1,2,7,13,14,15,28(1)(a) dan 37.
            Konvensyen ini menuntut agar kita menjadi lebih peka terhadap keperluan kanak-kanak dan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penyayang. Ia menggariskan hak kanak-kanak di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, bangsa, kefahaman atau perbezaan. Tanggungjawab bagi memastikan perlindungan terhadap hak-hak ini terletak kepada kerajaan Negara-negara Pihak dan juga masyarakat.
 Perjanjian ini menggariskan empat pengelasan hak utama iaitu;
            Kehidupan Hak kanak-kanak kepada kelangsungan hidup dan keperluan-keperluan asas untuk hak tersebut seperti makanan, air bersih dan tempat tinggal.
          Ibu bapa mestilah menyediakan keperluan-keperluan asas kepada kanak-kanak mengikut kemampuan mereka. Kanak-kanak memerlukan tempat tinggal yang baik, pemakanan yang seimbang dan air yang bersih, persekitaran yang positif, harmoni dan penyayang perlulah diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak dapat membesar dengan baik.
            Ibu bapa juga perlu menyediakan pemakanan seimbang dan berkhasiat yang mengandungi zat seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral dalam memangkinkan tumbesaran kanak-kanak. Ibu bapa harus mengajar kanak-kanak untuk memilih makanan yang berkhasiat daripada memakan makanan ringan yang kurang berkhasiat.
  Perkembangan
Hak kepada pembangunan potensi individu menyeluruh seperti hak kepada pendidikan, hak untuk bermain dan hak untuk menyuarakan pendapat.
Ibu bapa mestilah memberikan pendidikan kepada kanak-kanak. Pendidikan ini termasuklah mengenali tuhan, nilai-nilai murni dan persekolahan. Ibu bapa harus memupuk minat membaca dan cintakan ilmu kepada kanak-kanak. Ilmu-ilmu yang baik dan bermanfaat ini adalah untuk menyediakan kanak-kanak pada masa hadapan.
Kanak-kanak juga diberikan kebebasan untuk bermain mengikut kesesuaian. Melalui interaksi bermain, kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat. Sebagai contoh, mereka dapat belajar menghormati orang lain; sesuatu yang mudah seperti beratur ketika bermain atau berkongsi alat permainan bersama-sama rakan.
Kanak-kanak juga perlu didengari. Pendapat mereka yang diambil kira oleh ibu bapa akan membuatkan mereka berasa dihargai. Dengan ini mereka bersedia untuk meluahkan perasaan atau masalah kepada ibu bapa. Terdapat banyak kes yang menunjukkan kanak-kanak atau remaja yang lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa sendiri dalam berkongsi masalah. Ini disebabkan oleh kurangnya komunikasi di antara kanak-kanak tersebut dengan ibu bapa mereka sehingga menyebabkan kanak-kanak ini tidak berminat untuk menceritakan masalah mereka kepada ibu bapa dan keluarga.
Perlindungan
            Hak kepada perlindungan daripada pengaruh-pengaruh tidak baik seperti penderaan, eksploitasi dan sebagainya.
            Kanak-kanak berhak kepada perlindungan daripada sebarang keadaan yang berbahaya seperti penderaan, pencabulan dan eksploitasi. Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada sesuatu masalah. Mereka perlu dilindungi daripada dicederakan dari segi emosi ataupun dari segi seksual.
            Mereka tidak seharusnya diabaikan dan dianiaya oleh sesiapa pun. Mereka juga tidak sepatutnya didiskriminasi hanya kerana perbezaan yang terdapat pada mereka. Jika terdapat salah laku terhadap kanak-kanak ini, pihak-pihak berwajib harus campur tangan dan melindungi mereka melalui undang-undang yang telah diperuntukkan.
  Penyertaan
            Hak kepada penyertaan sepenuhnya dalam keluarga, budaya dan kehidupan social masyarakat setempat.
            Kanak-kanak perlu diberi hak untuk mengambil bahagian dalam hal ehwal dan pembesaran mereka. Contohnya mereka ingin mendapatkan sesuatu barangan, sekiranya difikirkan sesuai, ibu bapa perlulah menyediakan barangan tersebut.
            Ibu bapa juga perlu menyertakan kanak-kanak dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat memupuk sifat-sifat murni dalam diri kanak-kanak.
            Selain itu, kanak-kanak juga perlu dididik untuk berbuat baik dan bertoleransi dengan anggota masyarakat.
            Ibu bapa merupakan individu yang paling hampir kepada kanak-kanak. Seharusnya menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kanak-kanak ini dapat menjalani kehidupan yang baik. Kesedaran terhadap hak kanak-kanak perlulah dipupuk ke dalam diri setiap individu agar mereka mengerti bahawa setiap dari kita mempunyai hak tersendiri. Kesedaran ini juga perlu dalam mengurangkan tindakan-tindakan tidak berperikemanusiaan sesetengah individu terhadap kanak-kanak.
-Nor Azwani Abdul Rahman, Bahagian Hak Asasi manusia, ERA Consumer Malaysia.
Sumber dipetik dr Harian Metro (Selasa, 20 Disember 2011)-

No comments:

Post a Comment