Pendahuluan
Antara perkara-perkara yang sinonim dengan
Ramadhan, Hari Raya dan Qurban adalah Hilal (anak bulan) dan Rukyah1. Menjadi
kebiasaan kita di Malaysia untuk beramai-ramai menghadap kaca televisyen
menantikan pengumuman oleh pemegang mohor besar Raja-Raja akan tarikh mula
puasa dan Raya.
Namun setelah berada di luar negara
terlintas satu masalah di mana bukan sahaja tiada autoriti induk bagi aktiviti
sebegini malah terdapat juga perbezaan tarikh puasa dan raya antara rakan-rakan
Muslim. Ada yang berpuasa sehari awal, ada pula yang berpuasa sehari lewat.
Punca pada perbezaan ini dasar dari perbezaan taklid/ ijtihad yang digunakan.
Artikel ini ditulis hanya sebagai
pendahuluan kepada pencarian ilmu dan konsep ijtihad yang lebih serius yang
patut diberatkan oleh pelajar Muslim Malaysia terutamanya di negara-negara
asing. Penulis tidak mencadangkan apa-apa dan cuba untuk tidak meletakkan hukum
atas mana-mana ijtihad, apa yang ditulis hanyalah berasaskan ilmu penulis yang
sangat sedikit.
Apakah
itu Hilal?
"Mereka bertanya kepadamu tentang
hilal. Katakanlah hilal itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan ibadat
haji." [al-Baqarah(2):189] 2
Dari Ibn Umar r.a. Dari Nabi saw. bahwa
beliau menyebut-nyebut tentang bulan Ramadhan sambil mengangkat kedua tangannya
dan bersabda: "Janganlah engkau memulai puasa sebelum engkau melihat hilal
awal bulan Ramadhan dan janganlah berhenti puasa sebelum engkau melihat hilal
awal bulan Syawal. Apabila tertutup awan, maka hitunglah (30 hari)." (Riwayat
Muslim)3
Di dalam al-Quran dan Hadis perkataan
Hilal merujuk kepada anak bulan atau bulan sabit, dalam bahasa Inggerisnya,
'Crescent moon'. Pun begitu dalam beberapa terjemahan dalam bahasa Inggeris
menterjemah perkataan Hilal sebagai 'New Moon' atau Bulan Baru 4.
Hilal adalah fasa seterusnya selepas fasa
Bulan Baru di mana pantulan cahaya berbentuk sabit mula kelihatan. Hilal akan
kelihatan lebih kurang sehari atau lebih selepas Bulan Baru. Di mana,
pergerakan bulan pada orbitnya mula membenarkan pantulan cahaya matahari pada
permukaannya untuk sampai ke bumi. Cahaya yang terpantul itu yang akan kelihat
sebagai bulan sabit pada pemerhati di bumi. Bulan baru dalam kalendar Islam
bermula dengan Hilal bukan Bulan Baru. (Ali 2009, Shaikh 2006).
Rukyah
Rukyah adalah aktiviti melihat dan
menentukan Hilal. Rukyah bukan sahaja dilakukan untuk menentukan jatuh tarikh
puasa dan raya sahaja. Ia adalah aktiviti utama untuk menentukan bulan baru
setiap bulan dalam kalendar hijrah.
Bulan seperti matahari terbit dari sebelah
timur dan terbenam di sebelah barat. Hilal terletak berdekatan matahari dan
akan terbenam selepas matahari terbenam. Rukyah dilakukan antara waktu selepas
matahari terbenam dan sebelum bulan pula menyusur terbenam. Rukyah akan
dilakukan pada 29 haribulan. Secara teknikal, bulan tidak dapat kelihatan pada
28 haribulan kerana ketika itu bulan berada pada fasa Bulan Baru (Ali 2009).
Sekiranya hilal gagal kelihatan pada
petang 29 haribulan, maka bulan tersebutan disempurnakan atau dicukupkan kepada
30 hari. Dengan kata lain, bulan hijriyah yang baru akan bermula pada lusa
harinya, bukan keesokannya.
Untuk Ramadhan tahun ini, Hilal akan mula
kelihatan pada 20 Ogos 2009 di tengah-tengah lautan Pasifik, jauh ke barat dari
Amerika Selatan. Oleh hal demikian negara yang terawal untuk melihat anak bulan
pada tahun ini ialah di Jepun pada hari keesokkannya iaitu pada 21 Ogos 2009
(CrecsentWatch.org).
Secara istilahnya, jika seseorang membuat
kenyataan bahawa dia telah melihat hilal, dan dia adalah seorang Muslim, maka
kenyataannya diterima, maka Muslim di matla tersebut perlu berpuasa pada esok
hari. Namun terdapat beberapa kes di mana, kenyataan tersebut diragui kerana
beberapa perkara. Antaranya, terdapat orang yang menyatakan melihat hilal pada
27 haribulan, padahal ketika itu yang dilihat bukan Hilal, tapi Waning Crecsent
atau Old Moon.
Oleh hal demikian, Rukyah digalakkan
dilakukan secara Jamme Ghafir iaitu oleh ramai saksi, kaedah ini digalakkan
oleh Imam-Imam Mazhab seperti Imam Abu Hanifa, Malik dan Imam Ahmad. (Shaikh
2006).
Hisab
"Dia-lah yang menjadikan matahari
bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat)
bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan
perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan
hak". [Yunus (10):5]
"Matahari dan Bulan beredar mengikut
laluan yang diperhitungkan" [ar-Rahman(55):5] 5
Maha suci Allah yang berkuasa menciptakan
sesuatu atas kehendak-Nya. Dari dua potong ayat di atas, jelas bahawa peredaran
bulan dan matahari terdapat pengiraan di sebaliknya, dan dengan Izin-Allah
manusia mampu memahami dan mengira fenomena ini.
Hisab atau kaedah pengiraan astronomikal
dalam konteks ini merujuk kepada kaedah perhitungan pergerakan bulan
menggelilingi bumi. Pada zaman kini terdapat pelbagai badan-badan astronomi di
mana-mana negara sekalipun yang mengira kedudukan bulan pada satu-satu masa.
Dengan teknologi terkini kedudukan bulan boleh ditentukan dengan tepat, dan
bulan boleh dilihat menggunakan telescope canggih biarpun mata kasar tidak
mampu melihatnya, terutamanya dalam kes Bulan Baru.
Namun perlu diingatkan teknik pengiraan
bulan bukan sesuatu yang baru. Pengiraan matematik pergerakan bulan
menggelilingi telah lama dipelopori oleh Tamadun Greek dan Tamadun India,
ratusan tahun sebelum Tamadun Islam bermula. Bahkan ahli astronomi Muslim
menjelajah ke India untuk belajar dan memperbaiki kaedah Hisab dan Rukyah untuk
kemudahan ummah (King 1993, Ali 2009). Terdapat lebih dari satu kaedah hisab,
tetapi tidak akan dibincangkan di sini kerana teknikaliti yang sangat kompleks
dan perbincangan yang panjang.
Terdapat Muslim yang terpendapat bahawa
Hisab boleh menggantikan kaedah Rukyah sama sekali bahkan perlu digunakan
sebagai kaedah untuk menentukan kalendar Hijrah seluruh dunia atas dasar
kesatuan Ummah. Pun begitu majoriti ulama menegaskan keperluan hisab hanya
sebagai pembantu dalam proses Rukyah, bukan sebagai pengganti.
Salah faham umum dalam penggunaan kaedah
Hisab ialah timbul apabila kekeliruan antara Hilal dan Bulan Baru. Kaedah hisab
menentukan waktu "lahir" bulan baru bukan hilal. Hisab tidak mampu
untuk menentukan Hilal kerana Hilal adalah sesuatu yang dilihat. Perlu
diingatkan Hilal adalah pantulan cahaya dari bulan yang berbentuk sabit. Maka,
apa yang terjadi apabila kekeliruan ini timbul ialah mereka akan berpuasa pada
hari orang membuat Rukyah, iaitu sehari atau dua hari sebelum tarikh puasa
melalui kaedah rukyah.
Tuntutan
Syara'
Dalam surah al-Baqarah ayat 185, perkataan
"famaan shahida minkum as-shahara" bermaksud;
'Sesiapa antara kamu yang melihat bulan'.
Ayat ini merujuk terus keperluan untuk melihat sendiri Hilal. Perkataan
'shahida' memberi makna untuk melihat dalam bentuk fizikal sebagai bukti
(hilalsighting.org). Maksud lain bagi perkataan 'shahida' adalah, untuk
bersaksi atas suatu perkara yang dilihatnya (Ali 2009).
Afroz Ali, Presiden di al-Ghazzali Centre
for Islamic Sciences & Human Development, menekankan bahawa untuk
menggunakan kaedah pengiraan semata-mata bagi menentukan tarikh tidak menepati
kehendak syara' dan beliau juga menambah; Imam al-Qurtubi dalam Sabab al-Nuzul,
menulis berkaitan dengan ayat 189 surah al-Baqarah seperti berikut:
"This
(verse was revealed) in opposition to what the Arabs considered acceptable at
their time, as their practice was to perform Hajj based upon calculation
('adad) and alterations of the months. And so Allah nullified their words and
deeds by obligating sighting of the crescent". (Ali 2009)
Pada zaman Rasulullah (S.A.W) di Madinah,
orang Yahudi juga mempunyai Kalendar Lunar6mereka sendiri, tetapi berbeza
dengan Muslim, Yahudi menggunakan Bulan Baru sebagai permulaan bulan yang baru
dalam kalendar mereka. Rasulullah (S.A.W) sebaliknya menyuruh umat Islam untuk
menggunakan Hilal sebagai penentu berakhir dan mula bulan-bulan Islam daripada
menggunakan kalendar Yahudi (IslamMoon.com).
Maka pada hukum syara', Hilal merupakan
sabab kepada mulanya puasa tetapi selepas beberapa kriteria yang ditetapkan
dipenuhi iaitu Rukyah pada petang 29 haribulan bulan Islam. Dan seperti hadis
Nabi, sekiranya Hilal tidak kelihatan maka dicukupkan bulan itu dengan 30 hari
(Ali 2009).
Saksi sedang mengira kedudukan matahari
(sumber: al-ghazzali centre)
Penutup
Muslim seluruh dunia melihatkan keperluan
untuk menyatukan tarikh kalendar Hijriyah sebagai lambang kesatuan Ummah.
Ironiknya setiap kali Ramadhan dan dua Hari Raya (Eid), Muslim menyambutnya
dalam 2-3 tarikh Kalendar Gregorian yang berbeza serata dunia, tidak cukup
dengan itu masing-masing menyalahkan satu sama lain atas perbezaan tarikh
tersebut.
Persoalan yang dibangkitkan ialah apakah
ia tuntutan syara bagi menseragamkan kalendar Islam atas dasar syiar perpaduan
Islam semata? Dalam menjawab persoalan ini, Liga Muslim Sedunia (Muslim World
League), bersetuju atas beberapa perkara mengenai tarikh Kalendar Hijriah7:
1-Tidak ada keperluan untuk menseragamkan
rukyah dan Hari Raya untuk semua negara-negara Islam. Kerana usaha ini belum
tentu dapat menyatukan ummah seperti mana yang dilaung-laungkan.
2- Perihal rukyah adalah tanggungjawab
pada Waqi' negara masing-masing.
3-Satu-satunya jaminan untuk kesatuan
Ummah ialah apabila Muslim mahu bersatu dalam mentaati Quran dan Sunnah.
Sebagai tambahan, Salman Shaikh,
Koordinator Hilal Sighting Commitee of North America menjelaskan bahawa
Rasulullah tidak pernah menyamakan tarikh Eid-ul-Adha di Madinah dan Mekah
(Shaikh 2006).
Terdapat pelbagai lagi persoalan yang lahir
berkaitan Rukyah, Hilal dan Kalendar Hijriah, antara yang popular ialah
persoalan menggunakkan Rukyah Lokal atau Global, dengan kata lain, apakah saya
yang berada di Australia boleh menggunakkan keputusan Rukyah di Algeria, Arab
Saudi, Argentina etc. Namun perbincangan yang panjang yang tidak disertakan
dalam penulisan ini kebanyakkan berbentuk khilaf, untuk mengelakkan takalluf,
saya sengaja tidak sertakan. Apa yang telah ditulis merupakan hanya sebagai
pendahuluan dan sangat sedikit daripada maklumat mengenai Rukyah dan perkara
berkaitan dengannya. Lagi sekali diingatkan, penulisan ini hanya sebagai
pendorong untuk pembaca mencari maklumat sendiri dengan lebih lanjut.
Maha Suci Allah dan Rasul-Nya lebih
mengetahui.
Nota
kaki
[1]-Terdapat dua maksud untuk perkataan
Rukyah. Dalam penulisan ini, Rukyah merujuk kepada aktiviti atau kaedah melihat
anak bulan untuk penentuan tarikh dalam kalendar Hijriah. Rukyah ini dieja
seperti berikut (رؤْية). Perkata
rukyah lain bermaksud bacaan du'a sebagai syifa' atau memohon perlindungan,
Rukyah ini pula atau Ruqyah dieja dengan huruf Qaff (myks.wordpress.com).
[2] Penulis terjemah sendiri dari ayat
berikut: (They ask you (O Muhammad) about the crescents. Say, "These are
signs to mark fixed periods of time for mankind...) so that they mark their
acts of worship, the 'Iddah (the period of time a divorced woman or a widow is
required to wait before remarrying) of their women and the time of their Hajj (pilgrimage
to Makkah).(Tafsir.com)
[3]- Sahih Muslim, Hadith 1795
(al-Islam.com).
[4]- 'New Moon'/ Conjuction/ Astronomical
New Moon; merujuk kepada fasa peredaran bulan di mana 'celestial longitude'
bulan adalah sama dengan matahari (Shaikh 2006, Odeh) dengan kata lain,
kedudukan bulan adalah selari dengan matahari dari tempat pemerhati,
menyebabkan tiada pantulan cahaya dari matahari oleh bulan sampai ke bumi; maka
pada fasa ini bulan tidak dapat kelihatan. Dengan kata lain 'New moon'
bermaksud 'No moon'(Shaikh 2006), saya namakan fasa New Moon sebagai Bulan
Baru.
[5]-Diterjemah dari ayat berikut: The sun
and the moon run on their fixed courses, calculated with measured out stages
for each. (Qur'an 55:5) dan (Yusuf Ali translation):The sun and the moon follow
courses (exactly) computed.
[6]-Lunar Calendar/ Kalendar
Lunar=Kalendar berdasarkan bulan, oppo. Solar Calendar/ Gregorian
Calendar=kalendar berdasarkan pergerakkan bumi menggelilingi matahari.
[7]-Penulis terjemah sendiri dari ayat
berikut: "1-There is no need to peruse unification of Moon sighting and
Festivals in the Islamic world. Because this pursuit will not guarantee the
ummah's unification as the promoters of unification of Moon sighting and
Festivals imagine. 2- That the matter of moon sighting be left to the Muslim
countries and their Judicial and Juristic Councils, because that has priority
as well as will yield the most benefit. 3-The only guarantee which will benefit
the Muslims in unifying the ummah in its matters and issues is that they agree
to abide by the Quran and Sunnah in all of their matters"
(Hilalsighting.org).
Rujukan
Afroz Ali, Understanding Crescent
Sighting, al-Ghazzali Centre, held on 5th July 2009 in Newcastle, NSW
Australia.
Australian National Crescent Sighting
Coordination Centre, URL , last view on 17th August 2009.
Dr. Salman Shaikh, Coordinator, Hilal
Sighting Committee of North America, Hilal Sighting & Islamic Dates:
Issues and Solution Insha'Allaah, Presented at Islamic Crescent Observation
Project Conferences in Amman, Jordan in 1422H (2001G) and in Abu-Dhabi, UAE in
1427H (2006G), URL, last view on 17th August 2009.
D. A. King 1993, Astronomy in the Service
of Islam, Variorum Publication, ISBN 0-86078-357-X.
Hilal sighting committee of North America,
A Refutation to ISNA/Fiqh's Council Decision to Disregard the Qur'an and the
Sunnah and to follow Astronomical Calculations for Beginning an Islamic
Month,URL
CrescentWatch.org, URL last view on 17th
August 2009.
Ginny's thought and Things, URL last view
on 17th August 2009.
IslamicMoon.com, Moon sighting News,
Analysis and Articles, URL last view on 17th August 2009.
Myks.wordpress.com URL last view on 17th
August 2009.
Al-Islam, www.al-islam.com, Hadis-Hadis
Nabi: Puasa, URL
Online Quran project, www.al-quran.info
URL (Ayat quran dalam teks arab)